Niat di hati untuk terjun ke dunia sastera membuatkan jari jemari ini tidak sabar untuk melakar keindahan aksara yang boleh menghilangkan gundah si pembaca. Niat di hati untuk lari meninggalkan dunia kejuruteraan yang kaku tanpa detakan indah membuatkan minda ini tidak lagi berminat untuk mengira setiap bait pengiraan yang tidak mahu menerima sebarang kesilapan. Kadang kala akan terdiam, dan ketawa sinis mempermainkan diri. Kerana dunia di hadapan akan dilandaskan berdasarkan coretan di atas kertas yang diaju berdasarkan kefahaman si penilik.Jadi harus bagaimana untuk meluahkan bahasa yang hanya terperangkap di pemikiran.
Tanpa tangan untuk digapai apabila terperangkap dalam gelapnya suria. Tanpa mereka yang berjanji untuk menadah telinga mendengar gulana hati ini. Tanpa bahu untuk menahan kepala yang semakin perit dihantui kesilapan silam. Jari ini harus terus menulis, agar diri ini boleh terus bernafas dan terus melemparkan senyuman tanpa ada sesiapa yang perasan akan hilangnya keyakinan hati ini.
Jari ini harus terus menulis, agar kerinduan lalu dapat diubati walau tidak mungkin akan terhapus walau dibayar permata. Jari ini harus kekal menulis, agar setiap saat yang berlalu dapat disemadikan walau tidak sempurna kasta bahasanya. Jari ini harus terus menulis, agar hati ini boleh disapa ketenangan buat seketika supaya lebih ampuh untuk menghadapi celaka di esok hari.